SELAMAT DATANG

SEsemoga anda berpuas hati laman ini

Jumaat, 14 September 2012

Bersaing di pentas dunia

PRESTASI murid dan pelajar dalam tiga peperiksaan awam iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menunjukkan hasil yang hampir malar tetapi tetap menunjukkan peningkatan.
Bagaimanapun, laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 menegaskan, di sebalik keberhasilan itu adalah penting Malaysia membandingkan sistem pendidikannya dengan tanda aras global bagi memastikannya bergerak seiring dengan pembangunan pendidikan antarabangsa.
Ini kerana jelas laporan itu, prestasi negara dalam Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) menurun antara 1999 dan 2007 manakala keputusan Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA) 2009 pula menunjukkan Malaysia berada di kelompok sepertiga di bawah berbanding 74 negara peserta.
Ia juga lebih rendah daripada purata antarabangsa dan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).
"Adalah penting penilaian lanjut tentang keberhasilan pentaksiran itu dilakukan bagi memahami sebarang kekurangan dalam standard pendidikan. Prestasi murid dan pelajar dalam peperiksaan awam menunjukkan peningkatan kekal setiap tahun. Namun, dalam keadaan semasa, perbandingan dalaman tidak lagi memadai bagi memastikan daya saing di pentas dunia.
"Dalam tempoh dua dekad lepas, pentaksiran antarabangsa muncul sebagai satu kaedah perbandingan langsung tentang kualiti hasil pendidikan merentas negara dan sistem. Pentaksiran ini tertumpu kepada Matematik, Sains dan Bacaan. Bagi memahami prestasi murid dan pelajar kita, keputusan penyertaan negara dalam TIMSS dan PISA telah dikaji," jelas laporan itu.
Laporan itu menyatakan, ketika Malaysia menyertai TIMSS pada 1999, skor Matematik mengatasi purata antarabangsa dengan 519 mata dan terletak di tangga ke-16 daripada 38 negara.
Sains pula mencatat 492 mata dan mengatasi purata antarabangsa walaupun kedudukannya lebih rendah iaitu di tangga ke-22.
"Prestasi Malaysia dalam pusingan pada 2003 menunjukkan beberapa penambahbaikan dalam pencapaian pentaksiran tersebut. Namun keputusan pada 2007 menunjukkan penurunan ketara bagi skor Matematik dan Sains di bawah purata antarabangsa.
"Keputusan itu menunjukkan pelajar memahami konsep asas Matematik dan Sains tetapi pada amnya tidak dapat mengaplikasi pengetahuan itu," jelas laporan itu.
Bagi PISA pula, dalam pentaksiran terkini, prestasi Malaysia berada sekurang-kurangnya 100 mata di bawah negara serantau seperti Singapura, Jepun, Korea dan Hong Kong dalam ketiga-tiga dimensi iaitu Bacaan, Matematik dan Sains.
Namun, laporan tersebut menegaskan, ada beberapa bukti menunjukkan kurang padanan antara peperiksaan awam dan pentaksiran antarabangsa tentang kaedah mendefinisi standard.
"Satu sebab yang mungkin bagi tidak jajaran standard itu ialah perbezaan dalam fokus pengujian bagi peperiksaan awam dan pentaksiran antarabangsa. Contohnya PISA memberi tumpuan kepada soalan yang menguji kemahiran berfikir aras tinggi sebaliknya peperiksaan awam negara memberi lebih tumpuan kepada soalan yang menguji kandungan pengetahuan," jelas laporan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan