sumber :PENGENALAN ISU YANG DIPILIH
Isu disiplin banyak terpapar di
dada-dada akhbar, majalah, ditulis di blog-blog, menjadi tajuk-tajuk
pilihan tesis dan sebagainya. Namun sejauh manakah kita memberi
perhatian dan mengambil berat isu ini samada sebagai seorang guru,
pelajar, ibu bapa dan masyarakat?. Dari situ kita dapat timbulkan satu
persoalan, mengapa isu disiplin ini sering diutarakan?. Apakah
kepentingannya kepada pembentukan diri pelajar dan apakah kesannya
kepada negara?.
Isu disiplin yang terbaru ialah pada 25 September
2008, dikeluarkan kenyataan bahawa masalah salah laku disiplin murid
menurun pada kadar purata 2.03 peratus dalam tempoh lima tahun sejak
2003 melibatkan 5.4 juta murid seluruh negara. Timbalan Menteri
Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, penurunan itu berjaya dicapai
selepas kementerian melaksanakan beberapa program untuk menangani
masalah disiplin termasuk pelaksanaan sistem aduan disiplin. Katanya,
berdasarkan statistik menunjukkan kes salah laku murid menurun dari
setahun ke setahun sebanyak 1.53 peratus dilaporkan pada 2006, 1.33
peratus (2007) dan 1.27 peratus bagi tempoh enam bulan pertama tahun
ini. Penurunan masalah disiplin itu berlaku hasil daripada tindakan yang
diambil oleh Jawatankuasa Menangani Gejala Disiplin yang diwujudkan
oleh kementerian bagi menangani gejala berkenaan. (Utusan Malaysia, 26
September 2008)
Penurunan kadar peratus salah laku ini menunjukkan
bahawa kesedaran dan keprihatinan semua pihak tentang pentingnya
disiplin ini sudah timbul. Misalannya, e-Disiplin di semua sekolah
menengah iaitu sistem pengurusan masalah disiplin pelajar secara
berkesan dan sistematik berasaskan teknologi web akan mula diperluaskan
kesemua 2100 sekolah menengah seluruh negara. Sistem ini telah
dibangunkan oleh Universiti Malaysia Terengganu dengan kerjasama Majlis
Aspirasi Pemangkin Nasional (Mapan). (Utusan Malaysia, 5 Mei 2008) .Ini
menunjukkan bahawa isu disiplin ini mendapat keprihatinan dari semua
pihak dan membuktikan bahawa ada usaha-usaha dilaksanakan untuk
menangani masalah ini. Pelbagai program dilaksanakan sejak dahulu lagi
sehingga kini.
Namun heboh pula masalah buli siber di sekolah di mana
ia merupakan satu cabaran baru di sekolah. Juga dinyatakan di dalam
Utusan Malaysia, 5 Mei 2008. Masalah ponteng sekolah, merokok,
penyalahgunaan dadah yang masih berlaku dan lain-lain lagi.
Dari
situ,kita dapat buat kesimpulan bahawa walaupun kadar peratusan masalah
salah laku ini telah menurun, semua pihak harus ada usaha berterusan
bagi menjadikan kes disiplin sifar. Ketidakpedulian kita akan memberi
ruang dan peluang kepada masalah disiplin baru untuk muncul. Semua ini
perlu diberi perhatian dan ambil berat kerana pelajar sekolah bukan
sekadar pelajar sekolah dan terus kekal begitu, tetapi mereka yang bakal
meningkat menjadi pemimpin-pemimpin negara suatu hari kelak. Disiplin
itu perlu dibentuk sejak dari kecil. Bak kata pepatah, “melentur buluh,
biarlah dari rebungnya”.
KONSEP DISIPLIN
Disiplin
mempunyai pelbagai tafsiran. Antaranya tafsirannya ialah disiplin ini
merujuk kepada kawalan diri, kawalan dari luar, patuh kepada autoriti,
keadaan tempat bekerja yang teratur, urusan yang sistematik, cara yang
menetapkan peraturan atau hukuman dengan berkesan.
Selain itu
disiplin juga ditakrifkan sebagai perihal ketenteraman dan peraturan di
dalam sesuatu kumpulan, termasuk cara-cara mendapatkan ketenteraman dan
peraturan itu, serta hukuman.
TUJUAN DISIPLIN DI SEKOLAH
Disiplin
adalah satu keperluan kepada pelajar supaya dapat berfungsi dengan
baik.(Charles H.Madsen & Clifford K. Madsen, 1970) Jika dilihat dari
konteks sekolah, disiplin merupakan peraturan-peraturan yang dikenakan
ke atas pelajar-pelajar dengan tujuan untuk mengawal tingkah laku mereka
melalui hukuman atau ganjaran. Oleh kerana itu, disiplin bilik darjah
merupakan peraturan-peraturan yang dikenakan ke atas pelajar-pelajarnya
supaya berkelakuan baik dan dapat mendisiplinkan diri semasa aktiviti
pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Apabila pelajar-pelajar dapat
mendisiplinkan diri, suasana pembelajaran yang sistematik, teratur dan
lancar tanpa sebarang gangguan dapat dijalankan. (Mok Soon Sang, 2008)
Menurut ( Ang Jit Eng 2007) Moles 1989 menegaskan dua objektif utama kewujudan disiplin di sekolah adalah:
Memastikan keselamatan dan kesejahteraan staf dan murid.
Mewujudkan suasana yang kondusif untuk pembelajaran.
Gangguan
disiplin berupa salah laku murid yang serius dapat menggagalkan
kedua-dua objektif ini selain daripda menyebabkan insiden-insiden itu
tersiar di media massa. Oleh yang demikian, pengurusan dan pengawalan
disiplin murid adalah suatu tanggungjawab pihak sekolah yang penting.
Dalam buku Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979), disiplin bermaksud:
Kesanggupan
seseorang individu menghormati dan mematuhi undang-undang, sama ada
disiplin itu dikenakan dari luar atau dengan kerelaan sendiri.
Kesanggupan seseorang bekerja atau membuat sesuatu dengan tertib.
Kesanggupan seseorang menghormati hak inidividu lain,
Kesanggupan seseorang mengamalkan tingkah laku yang baik dan tidak mengganggu kepentingan orang lain.
Kesanggupan hormat-menghormati di antara satu dengan lain dan mempunyai semangat tolong-menolong.
Kesanggupan membaiki keadaan yang sedia ada menerusi usaha yang membina.
Kesanggupan berkhidmat kepada masyarakat.
KEPENTINGAN UMUM DISIPLIN
Disiplin merupakan satu bentuk kawalan sosial untuk
mewujudkan suasana yang tenteram dan teratur samada dalam masyarakat
ataupun sekolah. Dengan adanya disiplin, masyarakat dapat hidup dalam
dengan aman,tenteram,harmoni dan melancarkan segala aktiviti harian.
(Ang Jit Eng, 2007)
JENIS-JENIS DISIPLIN
Disiplin terbahagi kepada empat jenis yang utama iaitu:-
Disiplin arahan guru
Disiplin arahan kerja
Disiplin arahan kumpulan
Disiplin arahan diri
Disiplin arahan guru
Disiplin
arahan guru adalah cara dan tuasguru menentukan arahan dan peraturan,
mengawal dan memastikan setiap pelajar mematuhinya. Tindakan akan
diambil kepada pelajar yang melanggar sebarang peraturan yang telah
ditetapkan. Sebagai pengurus bilik darjah, guru bertanggungjawab dalam
merancang, mengelola, mengarah dan mengawal hal-hal yang berkaitan
dengan disiplin pelajar. Guru mungkin bersikap autokratik dalam mengawal
disiplin pelajar. Namun guru perlu membuat pertimbangann sebaik mungkin
dalam hal berkaitan disiplin supaya ia tidak menjejaskan hubungan
antara guru dan pelajar atau menyebabkan mereka takut untuk mencuba
sesuatu yang baru atau bertindak memberontak. Jadi, motivasi kendiri
berkaitan disiplin sangat pelu digalakkan. (Shahabudin Hashim, Rozihani
Yaakub, Mohd Zohir Ahmad, 2007)
Disiplin arahan kerja
Disiplin
arahan kerja wujud apabila sesuatu tugasan yang diberikan diberikan
oleh guru kepada murid dan perlu diselesaikan dalam tempoh yang
ditetapkan. Disiplin ini dibentuk berdasarkan kesedaran keperluan dan
tanggungjawab dan mempunyai kebaikan kepada pelajar-pelajar yang
mematuhi arahan dan dapat menyiapkan tugasan mengikut jadual yang
ditetapkan.
Disiplin ini mempunyai ciri motivasi yang positif.
Hal ini kerana ia menggalakkan pelajar menyelesaikan tugasan demi
kebaikan dan kepentingan sendiri. Namun,tidak semua pelajar dapat
mnyelesaikan tugasan seperti yang diajdualkan. Oleh sebab itu, disiplin
arahan kerja ini dapat diwujudkan apabila tugasan yang diberikan itu
menarik, bermakna, sesuai dengan umur dan keupayaan pelajar dan dapat
disiapkan dalam tempoh yang diberikan. (Mok Soon Sang, 2008)
Disiplin arahan kumpulan
Disiplin
arahan kumpulan merujuk kepada disiplin yang dihasilkan daripada
kawalan rakan-rakan dalam kumpulan yang sedia ada atau kumpulan yang
dibentuk untuk menjalankan aktiviti pembelajaran. Pembentukan biasanya
berasaskan kepada nilai, kepercayaan dan norma yang sama antara ahli
kumpulan. Mana-mana ahli kumpulan yang tidak dapat mematuhi nilai
kumpulan akan disingkirkan. Kumpulan sebegini boleh digunakan oleh guru
untuk membantunya mengawal disiplin bilik darjah. Ketua kumpulan yang
dilantik berperanan dalam mengawal disiplin kerja ahli kumpulannya yang
lain. (Shahabudin Hashim, Rozihani Yaakub, Mohd Zohir Ahmad, 2007)
Disiplin arahan diri
Disiplin
arahan diri berlaku apabila pelajar dapat mematuhi peraturan sekolah
secara sukarela. Disiplin ini diwujudkan atas kesedaran bahawa mematuhi
peratuan-peraturan sekolah adalah untuk kebaikan pelajar sendiri. Ia
wujud secara tidak sedar apabila pelajar telah mencapai tahap kematangan
iaitu boleh berfikir secara rasional. Selain itu, nilai disiplin jenis
ini juga dapat dibentuk oleh guru melalui latihan dan bimbingan seperti
menerangkan kebaikan mematuhi peraturan yang ditetapkan, menerapkan
nilai-nilai murni seperti adil,saling hormat-menghormati, bertimbang
rasa, toleransi dalam sebarang aktiviti samada aktiviti pengajaran dan
pembelajaran atau aktiviti kokurikulum.
Disiplin
arahan diri ini adalah yang paling berkesan dalam pengurusan bilik
darjah. Masalah disiplin di sekolah dapat diturunkan ke paras minimum
apabila mereka sedar kepentingan mematuhi disiplin. (Mok Soon Sang,
2008)
MASALAH DISIPLIN MASA KINI
Masalah disiplin selalu
berlaku samada samada di dalam sekolah atau dalam bilik darjah. Semua
ini kerana pelajar-pelajar terdiri daripada pelbagai latar belakang,
mempunyai sahsiah, intelek, jasmani, rohani dan sosioekonomi yang
berbeza. Masalah-masalah yang timbul pada masa kini dapat dikategorikan
kepada empat bahagian iaitu :-
Jenayah
Kelakuan negatif
Membolos
Menipu
Jenis-jenis
masalah disiplin yang tergolong dalam kategori jenayah ialah merosakkan
harta benda sekolah, mencuri, berjudi, berlawan, memeras ugut,
menyertai kongsi gelap, menyalahgunakan dadah, menumbuk guru, bergaduh,
membaca atau melukis gambar lucah.
Jenis-jenis masalah
disiplin yang tergolong dalam kategori kelakuan negatif pula ialah
berambut panjang, memakai sepatu dan stokin berwarna, baju T, berkuku
panjang, menghisap rokok, bercakap kasar, berbual-bual dengan dialek,
tidak menghormati guru, makan dalam bilik darjah, membuat bising,
membuli rakan yang lemah, tidak membawa buku, tidak membuat tugasan,
menentang arahan guru.
Jenis-jenis masalah disiplin yang
tergolong dalam kategori membolos ialah ponteng kelas, ponteng
sekolah,ponteng aktiviti kokurikulum, datang lambat ke sekolah, makan di
kantin semasa waktu pelajaran, lewat ke perhimpunan sekolah, berkhayal
atau tidur dalam bilik darjah.
Manakala jenis-jenis
masalah disiplin yang tergolong dalam kategori menipu pula ialah meniru
di dalam ujian atau peperiksaan, menyalin kerja murid lain, tidak
menghantar buku latihan untuk diperiksa, menulis dan menandatangani
sendiri surat ibu bapa, menandatangani sendiri buku kemajuan, bercakap
bohong, berpura-pura sakit. (Mok Soon Sang, 2008)
Masalah-masalah disiplin ini juga berlaku di dalam bilik darjah. Ia
Dapat diklasifikasikan kepada dua kategori iaitu :-
Semasa pengajaran dan pembelajaran.
Contohnya
melawan dan tidak menghormati guru, membaca bahan-bahan lain,
mengeluarkan kat-kata kesat, makan, membuat bising atau bergerak bebas
di dalam bilik darjah, mengganggu pengajaran dan pembelajaran,tidak
membuat kerja seperti yang diarahkan, ponteng kelas dan lewat masuk ke
kelas.
Di luar waktu pengajaran dan pembelajaran (semasa ketiadaan guru)
Contohnya
melawan dengan ketua tingkatan atau pengawas, membuli rakan,
berkeliaran, makan, membuat bising, merosakkan harta benda seperti
kerusi, meja, papan kenyataan, menipu(melibatkan wang)rakan,
mengeluarkan kata-kata lucah dan mencuri. (Shahabudin Hashim, Rozihani
Yaakub, Mohd Zohir Ahmad, 2007)
Menurut (Mok Soon Sang,
2008) Laporan Disiplin Pelajaran Sekolah Malaysia, data jenis salah laku
di sekolah yang dikumpulkan dari semasa ke semasa oleh Kementerian
Pelajaran adalah diturunkan seperti berikut:
Salah Laku Pelajar-pelajar di Peringkat Sekolah Rendah
Salah
laku yang berlaku di peringkat sekolah rendah dapat dibahagikan kepada 8
kategori iaitu kategori jenayah, lucah,kemasan diri, tidak pentingkan
masa, kurang sopan, laku musnah, tidak jujur dan ponteng.
Jenis
salah laku yang merangkumi kategori jenayah ialah berjudi,mencuri,
melawan guru, melawan pengawas, peras ugut, membuli, mengancam murid.
Jenis salah laku yang merangkumi kategori lucah ialah menggunakan kata-kata lucah, melukis gambar lucah dan membaca komik lucah.
Jenis
salah laku yang merangkumi kategori kemasan diri ialah berambut
panjang, rambut berwarna dan kurang kemas, berkuku panjang, berpakaian
tanpa mengikut peraturan sekolah, memakai kasut kotor.
Jenis salah
laku yang merangkumi kategori tidak pentingkan masa ialah berkeliaran,
lewat ke perhimpunan sekolah, makan di luar masa rehat, berbual-bual
atau buat bising dalam bilik darjah, tidak buat kerja sekolah mengikut
masa.
Jenis salah laku yang merangkumi kategori kurang sopan ialah
berkasar dengan guru,pengawas atau murid, berbahasa kesat, menyimpan
atau menghisap rokok, mengganggu pengajaran,tidak hormat guru atau
pengawas, kelakuan kurang sopan.
Jenis salah laku yang merangkumi kategori laku musnah ialah merosakkan harta benda sekolah, guru dan murid.
Jenis salah laku yang merangkumi kategori tidak jujur ialah menipu (melibatkan wang), menipu sekolah, guru dan murid.
Jenis
salah laku yang merangkumi kategori ponteng ialah ponteng kelas,
sekolah, aktiviti kokurikulum, kelas tambahan dan aktiviti sekolah.
Salah Laku Pelajar-pelajar di Peringkat Sekolah Menengah
Salah
laku yang berlaku di peringkat sekolah menengah adalah lebih kurang
sama juga sepertimana salah laku yang berlaku di peringkat sekolah
rendah di mana ia terdiri daripada 8 kategori iaitu kategori jenayah,
lucah,kemasan diri, tidak pentingkan masa, kurang sopan, laku musnah,
tidak jujur dan ponteng.Namun salah lakunya adalah lebih berat dan rumit
iaitu:-
1. Jenis salah laku yang merangkumi kategori jenayah
ialah berjudi, melawan guru, pengawas dan pelajar, memeras ugut,
membuli, salahguna dadah, membawa senjata, mencabuli kehormatan,
mengancam pelajar, menceroboh, terlibat dalam kongsi gelap, tunjuk
perasaan, menentang peraturan sekolah dan pihak sekolah.
2. Jenis salah laku yang merangkumi kategori lucah ialah bercumbuan,
berkhalwat, membawa atau membaca bahan lucah, mengintai pelajar perempuan, menggunakan kata-kata lucah, melukis gambar lucah.
3.
Jenis salah laku yang merangkumi kategori kemasan diri ialah
berambut panjang, rambut berwarna dan kurang kemas, berkuku panjang,
bermisai atau berjanggut, berpakaian tanpa mengikut peraturan sekolah,
memakai barang kemas.
4. Jenis salah laku yang merangkumi kategori
tidak pentingkan masa ialah berkeliaran, lewat ke perhimpunan
sekolah,bengkel, makmal atau bilik darjah, makan di luar masa rehat,
berbual-bual atau buat bising dalam bilik darjah, sembunyi diri dalam
perpustakaan atau tandas, tidak buat kerja sekolah mengikut masa.
5.
Jenis salah laku yang merangkumi kategori kurang sopan ialah berkasar
dengan guru, pengawas atau pelajar, berbahasa kesat, menyimpan atau
menghisap rokok, mengganggu pengajaran pembelajaran,tidak hormat guru
atau pengawas.
6. Jenis salah laku yang merangkumi kategori laku musnah ialah
merosakkan harta benda sekolah, pengetua,guru,pelajar dan kantin.
7. Jenis salah laku yang merangkumi kategori tidak jujur ialah menipu
(melibatkan wang), menipu sekolah, pengetua, guru,pelajar dan kantin
8. Jenis salah laku yang merangkumi kategori ponteng ialah ponteng kelas,
sekolah, perhimpunan, aktiviti kokurikulum, ujian, peperiksaan, kelas
tambahan, tugas sekolah dan aktiviti sekolah.
Mengikut analisis, sepuluh salah laku yang berkerapan tinggi berlaku di peringkat sekolah menurut urutan ialah:-
1. Ponteng sekolah
2. Mencuri
3. Mengancam murid sekolah
4. Berkasar dengan murid sekolah
5. Berbahasa kesat
6. Datang sekolah/masuk kelas lambat
7. Membuat bising dan menggangu pelajaran
8. Merosakkan harta benda sekolah
9. Ponteng aktiviti kokurikulum
10. Ponteng kelas
PUNCA-PUNCA MASALAH DISIPLIN
Guru
- Pendekatan dan kaedah pengajaran yang digunakan tidak menarik atau tidak sesuai.
Guru
gagal memilih dan menggunakan pendekatan dan kaedah pengajaran yang
dapat menarik dan mengekalkan minat murid kepada perkara yang
disampaikan oleh guru. Murid menjadi bosan, tidak menumpukan perhatian
dan menimbulkan masalah disiplin. (Shahabudin Hashim, Rozihani Yaakub,
Mohd Zohir Ahmad, 2007)
Guru yang bijak,kreatif dan inovatif dapat
menggunakan kaedah pengajaran pembelajaran yang berkesan dan melibatkan
pelajar secara aktif dan terkawal. Kaedah berkesan yang digunakan akan
dapat mengurangkan masalah yang tidak dikehendaki. Kepelbagaian kaedah,
teknik dan strategi pengajaran dan pembelajaran akan menjadi pelajar
aktif, seronok dan mudah menerima apa yang diajar oleh guru. Dengan itu
karenah disiplin dapat dikurangkan. (Abdul Rahim Abd Rashid, 1999)
- Perwatakan dan sahsiah guru
Menurut
(Mok Soon Sang, 2008) guru yang kurang berpengalaman dan kurang tegas
atas disiplin bilik darjah tidak akan mendapat penghormatan dan
kepercayaan daripada murid-murid. Murid-murid yang nakal sering
menimbulkan masalah dengan tujuan untuk membuli guru yang kurang tegas.
Menurut
(Ahmad Mohd Salleh, 2004) antara sifat-sifat guru yang disukai murid
menurut Atan Long (1993) ialah mempunyai emosi yang stabil dan mental
yang sihat, mempunyai badan yang sihat dan sahsiah yang dinamik,
mempunyai kecerdasan otak yang lebih tinggi daripada kebanyakan orang,
mempunyai sifat kreatif, imaginasi dan ikhtiar, mempunyai suara dan
tingkahlaku yang beradab, bertata tertib, bertimbang rasa, mempunyai
simpati dan bijaksana dalam menghadapi masalah, sabar, jujur dan ikhlas,
tegas, menepati masa dan berkebolehan mengurus, mempunyai sikap yang
positif dan menggalakkan, memberi bimbingan yang demokratik dan menjaga
status ikhtisas perguruan.
- Hubungan guru dengan pelajar kurang baik dan kurang mesra
Menurut Tengku Sarina Aini Tengku Kasim & Yusmini Md.
Yusoff 2006, menyatakan bahawa tugas guru bukan bersifat statik dan
hanya tertumpu kepada objektif akademik sahaja. Tetapi guru berperanan
dan mempunyai pengaruh yang besar kepada pembetukan kehidupan sosial
pelajar. Sehubungan itu, pembinaan hubungan berkesan antara guru dan
murid adalah pendekatan terbaik bagi mencapai hasrat ini.
Antara
kelebihan apabila wujud hubungan baik antara guru dan pelajar ialah akan
melahirkan persahaman yang baik antara mereka serta wujud rasa percaya
mempercayai dan ini dapat memberi kesan positif kepada proses pengajaran
dan pembelajaran. Oleh sebab itu,sudah pasti masalah disiplin akan
dapat dikawal dan dikurangkan.
Suasana bilik darjah kurang selesa
- Bilik darjah yang tidak selesa
Keadaan
bilik darjah yang tidak terurus,kerusi meja yang banyak dan nampak
berselerak, cahaya yang tidak mencukupi, panas, bekalan elektrik tidak
ada atau sudah tidak berfungsi menimbulkan ketidakselesaan kepada
pelajar enyebabkan mereka gelisah. Oleh sebab itu,merekatidak dapat
menumpukan perhatian kepada pelajaran sepenuhnya dan ini memungkinkan
berlaku gangguan kepada pengajaran dan pembelajaran.
- Bilangan murid yang terlalu ramai
Guru
tidak akan dapat mengawal kelasnya dengan baik apabila bilangan murid
terlalu ramai lebih-lebih lagi terdapat berbagai-bagai tahap kebolehan
pelajar. Ada pelajar yang lemah, sederhana dan tinggi tahap kebolehan
menerima apa yang diajar oleh guru. Guru tidak mampu melayan semua
karenah pelajar di dalam kelas tersebut. Jadi,pelajar yang tertinggal
atau atau tidak berminat mengikuti pengajaran guru akan melakukan
aktiviti-aktiviti yang mengganggu pengajaran dan pembelajaran. Contohnya
membuat bising, mengganggu rakan dan bergerak ke sana sini. (Shahabudin
Hashim, Rozihani Yaakub, Mohd Zohir Ahmad, 2007)
Kesihatan murid kurang baik
Pelajar yang kurang sihat atau tidak mendapatmasa rehat yang
mencukupi
tidak akan dapat menumpukan perhatian mereka di dalam kelas. Mereka
sering mengantuk, tidak cergas dan tidak mampu melibatkan diri secara
aktif ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Untuk
mengelakkan hukuman daripada guru, kemungkinan besar daripada mereka
akan meniru pelajar lain atau tidak membuat langsung tugasan yang
diberikan. Dapat direnung bersama bahawa pada masa ini, berapa ramaikah
guru yang menyoal tentang kesihatan pelajar-pelajarnya sebelum memulakan
pembelajaran.
Aspirasi sekolah yang terlalu tinggi
Pihak sekolah yang terlalu mementingkan pencapaian dan prestasi
akademik
juga sebenarnya merupakan punca timbulnnya masalah disiplin ini.Hal ini
kerana pelajar-pelajar yang tidak mampu mencapai aspirasi sekolah
sebagaimana diharapkan biasanya lebih cenderung untuk menimbulkan
masalah disiplin. (Mok Soon Sang, 2008)
Pengaruh negatif.
- Pengaruh negatif dari keluarga
Keluarga merupakan unit sosial terkecil yang menjadi asas utama
perkembangan
diri. Keluarga memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan
keperibadian. Kualiti kehidupan rumahtangga akan memberi kesan kepada
kualiti tingkahlaku. Keluarga yang aman damai, akan melahirkan anak-anak
yang berperibadi normal dan baik. Sebaliknya jika rumahtangga
bermasalah,adanya konflik, perceraian dan sebagainya lagi akan
menimbulkan anak-anak yang bermasalah. Kebanyakan pelajar-pelajar yang
menghadapi masalah ini tidak dapat menumpukan perhatian di dalam kelas.
Sentiasa murung, menyendiri. Hal ini kerana mereka kekurangan kasih
sayang dan perhatian dari ibu bapa dan ahli keluarga. Lalu, mereka akan
melakukan sesuatu yang boleh menarik perhatian orang ramai seperti
mencuri, merosakkan harta benda sekolah dan pelbagai masalah disiplin
lagi akan timbul. Peribadi ahli keluarga yang tidak bermoral dan
berakhlak juga akan mempengaruhi diri pelajar lantas terbawa-bawa
sehingga ke dalam bilik darjah. Contohnya suka mengeluarkan kata-kata
kesat dan lain-lain lagi. (Ibrahim Mamat,1997)
- Pengaruh negatif dari rakan sebaya.
Rakan sebaya juga mempengaruhi sahsiah dan keperibadian pelajar.
Pelajar
yang mudah terpengaruh akan mudah diajak untuk menimbulkan masalah
disiplin samada di dalam bilik darjah atau di sekolah. Contohnya
menghisap rokok, meminum arak, menyalahgunakan dadah, merosakkan harta
benda sekolah, ponteng kelas, bersembunyi di dalam tandas dan sebagainya
lagi. (Ibrahim Mamat,1997).Kebanyakan pelajar melakukan semua itu
supaya mereka diterima di dalam sesebuah kumpulan yang sengaja
diwujudkan oleh pelajar-pelajar bermasalah ini.
- Pengaruh negatif dari media massa.
Perkembangan media cetak dan media elektronik juga merupakan punca
terjadinya
masalah disiplin. Media cetak menyajikan fesyen-fesyen, hiburan, gaya
hidup yang pelbagai. Manakala perkembangan pesat teknologi maklumat pula
seperti budaya cybercafe, chatting di internet, kebebasan melayari
aneka laman web menjadikan pelajar dapat mengetahui sesuatu itu dengan
mudah. Pelajar yang mudah terikut dengan gerak hati anak muda akan mudah
meniru atau terpengaruh dengan apa yang dilihatnya. Contohnya datang ke
sekolah dengan fesyen dan gaya rambut yang pelbagai, menubuhkan
kumpulan mereka yang tersendiri, membawa bahan-bahan lucah ke sekolah
dan banyak lagi. (Azizan Bahari, 2003)
LANGKAH-LANGKAH MENANGANI MASALAH DISIPLIN
1. Peranan pelajar.
Dalam menangani masalah disiplin ini, pelajar juga boleh memainkan
peranan.
Mereka perlu mempunyai kesedaran mendisiplinkan diri, mematuhi semua
peraturan yang ditetapkan di sekolah, menjaga diri daripada terjebak
dengan masalah-masalah disiplin, elakkan daripada berkawan dengan
pelajar yang mempunyai masalah disiplin ini kerana dikhuatiri akan
terpengaruh.
1. Peranan guru
Guru perlu menguruskan
bilik darjahnya supaya pelajar tidak bosan di samping dapat mewujudkan
suasana pembelajaran yang kondusif. Suasana yang kondusif ini hanya
dapat diwujudkan apabila semua murid mengikut peraturan bilik darjah
yang telah ditetapkan. (Mok Soon Sang, 2008)
Guru juga perlu
menggunakan mempelbagaikan kaedah ketika mengajar. Menurut ( Mok Soon
Sang,1991) tujuan menggunakan berbagai-bagai teknik mengajar dalam
situasi pengajaran ialah untuk menarik minat murid, mengekalkan
perhatian serta membangkitkan rasa ingin tahu murid supaya mencapai
objektif pengajaran guru. Oleh itu, teknik yang dipilih haruslah
berdasarkan umur, kecerdasan,kebolehan dan minat murid. Dalam hal ini
pemilihan bahan pelajaran yang sesuai hendaklah berkait rapat dengan
teknik mengajar.
Apabila pelajar dapat melibatkan diri secara baik di dalam bilik darjah, maka sudah tentu masalah disiplin dapat diminimumkan.
Seorang
guru perlu jujur dalam menyampaikan ilmu pengetahuan. Bukan sekadar
mahu menghabiskan sukatan pelajaran. Tetapi benar-benar mahu mendidik.
Sikap ini perlu ditunjukkan oleh semua guru. (James Dunhill, 1964)
Mengikut
(Shahabudin Hashim, Rozihani Yaakub, Mohd Zohir Ahmad, 2007) guru juga
perlu membuat persediaan yang rapi untuk menjalankan pengajaran dan
pembelajaran. Masa untuk sesuatu waktu pengajaran digunakan secara
maksimum bagi mengelak murid tidak ada masa melakukan kerja-kerja lain.
Guru juga perlu mempamerkan keyakinan diri semasa berada di dalam kelas
supaya murid juga yakin dengan kebolehan guru. Suara guru perlu jelas
dan bahasa yang digunakan mudah difahami oleh semua pelajar.
Guru
perlu tegas dalam memberi tugasan dan arahan supaya pelajar dapat akur
dengan kehendak dan arahan guru. Tegas di sini tidak membawa maksud
autokratik, sebaliknya demokratik. Guru perlu sedar tugas mengawal
disiplin pelajar adalah tugas semua guru lebih-lebih lagi yang
melibatkan waktu pengajaran guru. Segala salah laku yang berlaku dalam
bilik darjah perlu ditegur dengan segera.
Pada masa yang sama guru
perlu mesra dengan pelajar dan mengelak daripada ada unsur pilih kasih
dalam melayan karenah murid supaya pelajar senang dengan guru. Apabila
senang dengan guru berkenaan,masalah disiplin yang timbul hasil daripada
hubungan tidak baik dengan guru dapat dikurangkan.
Guru kelas juga
perlu peka dengan persekitaran bilik darjah yang kurang
menyenangkan.Guru perlu kreatif dan proaktif dalam membina persekitaran
bilik darjah yang ceria dan kondusif supaya masalah disiplin yang timbul
akibat ketidakselesaan murid dapat diatasi.
Penghargaan
dan pujian perlu diberi kepada yang berkelakuan baik, di samping memupuk
nilai-nlai murni di kalangan murid. Murid yang mempunyai masalah
peribadi perlu ditangani dengan sebaik mungkin supaya mereka tidak
menimbulkan masalah disiplin.(Abd. Ghafar Mad Din, 2003)
2. Peranan Staf dan Pentadbir sekolah
Pelaksanaan
disiplin sekolah adalah tanggungjawab bersama,bukan tugas Guru Besar
atau Pengetua, guru-guru Penolong Kanan dan guru-guru Disiplin,
semata-mata tetapi semua staf dan pentadbir sekolah samada guru
bimbingan dan kaunseling, ketua warden dan warden asrama, guru-guru
agama dan moral hatta tukang kebun sekalipun. Semua boleh memainkan
peranan masing-masing. (Ang Jit Eng,2007)
Antara yang boleh dilakukan ialah:-
-
Memastikan semua tatacara pengurusan disiplin bilik darjah
dipatuhi oleh guru dan pelajar. Pemantauan yang berterusan perlu dibuat
dari semasa ke semasa.
- Memastikan bilangan murid di dalam
sesebuah kelas mematuhi syarat saiz kelas yang ditetapkan. (Shahabudin
Hashim, Rozihani Yaakub, Mohd Zohir Ahmad, 2007)
- Memastikan murid-murid mematuhi peraturan yang ditetapkan di sekolah demi kebaikan mereka.
-
Menyediakan pelbagai kemudahan sekolah seperti alat bantu
mengajar, tempat-tempat duduk , kipas ngin dan kemudahan-kemudahan yang
lain. Kemudahan tempat duduk contohnya di bawah pohon-pohon yang
rendang,di taman bunga atupun pondok bacaan supaya dapat memberi
keselesaan kepada murid.
- Meningkatkan kebersihan dan
keceriaan sekolah dengan mengadakan aktiviti gotong royong, pertandingan
kebersihan dan sebagainya.
- Menyediakan sistem
perkhidmatan psikologi. Ia penting supaya dapat memberi bimbingan dan
kaunseling kepada pelajar yang bermasalah dan selalu membuat masalah
disiplin.
- Mempertingkatkan sistem kelab dan persatuan.
Contohnya mewujudkan Persatuan Kebajikan Murid atau Kelab Pencegahan
Jenayah.
- Memantapkan sistem dan struktur kepimpinan
murid. Melalui aktiviti kepimpinan contohnya program kepada Kelab
Pengakap atau pegawas-pengawas sekolah, mereka akan dilatih agar memupuk
diri dengan nilai-nilai yang murni seperti berdisiplin, bekerjasama,
hormat-menghormati dan sebagainya.
3. Peranan Ibu bapa
Tugas
untuk mendisiplinkan pelajar bukan hanya terletak di bahu guru-guru,
staf dan pentadbir sekolah,namun ibu bapa juga berperanan penting dalam
mengawalnya.
Antara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk mengawal masalah disiplin ialah:-
-
Selalu merujuk kepada pihak sekolah dalam hal disiplin anak.
Ibu bapa perlu melibatkan diri dalam mesyuarat atau aktiviti yang
dijalankan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Hal ini supaya ibu
bapa dan guru dapat berbincang mengenai masalah anak-anak yang berlaku
dan cuba menyelesaikan masalah tersebut dengan sebaik mungkin.
-
Memberi pengetahuan agama di samping menjadi contoh teladan kepada
anak-anak. Melalui didikan agama yang diberikan, anak-anak dapat
menilai dan membezakan mana yang baik,mana yang buruk,apa yang dilarang
dan disuruh oleh agama. Contohnya apabila anak-anak melayari internet
atau membaca bahan-bahan bacaan. Dengan sendirinya mereka dapat membuat
keputusan yang terbaik.
- Memberi kelonggaran tertentu dan
tidak terlalu mengongkong tetapi mengambil tahu pergerakan dan
aktiviti-aktiviti anak-anak. Ibu bapa perlu mengetahui dengan siapa
anak-anaknya berkawan.
- Menggalakkan anak-anak mempunyai hubungan mesra di dalam keluarga.
- Menunjukkan minat terhadap pelajaran anak-anak.
- Memberi kebebasan kepada anak-anak memilih bidang yang diminati.
-
Mengamalkan sikap menghormati anak-anak dan menggalakkan
anak-anak menghormati diri, keluarga dan orang lain .(Ibrahim Mamat,
1997)
4. Peranan Komuniti
Menurut (Ang Jit Eng,2007),
komuniti setempat juga boleh menjadi mata dan telinga dalam mengawal
masalah disiplin ini. Komuniti setempat yang terdiri daripada
badan-badan atau pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan seperti polis,
bomba, majlis tempatan,penghulu, JKK Keselamatan, JK tempat-tempat
beribadat dan sebagainya dapat diminta memberi kerjasama mereka untuk
menyampaikan mesej kepada ibu bapa tentang kepentingan disiplin murid di
sekolah di samping membantu untuk melaporkan salah laku yang dilakukan
oleh murid di luar sekolah.
Apabila murid-murid dapat merasakan
komuniti setempat melaporkan kes-kes ponteng,lepak,merokok dan salah
laku yang lain kepada pihak sekolah, mereka lebih segan atau
berhati-hati apabila cuba melakukannya berbanding dengan komuniti yang
tidak mengambil tahu pada salah laku yang dilakukan.
PENUTUP
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kami panjatkan ke
hadrat Ilahi atas limpah kurnia serta pertolonganNya saya dapat
selesaikan tugasan ini dengan lancar.
Dan penghargaan
buat Dr. Habib Mat Som kerana banyak membimbing serta memberi tunjuk
ajar kepada saya.Tidak lupa juga saya kepada sahabat-sahabat serta semua
pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam
menyelesaikan kajian ini.
Sesungguhnya dapat saya
tegaskan sekali lagi di sini bahawa masalah disiplin yang berlaku ini
adalah satu isu yang sangat penting. Apabila berlaku masalah ini, kita
tidak boleh menuding jari menyalahkan mana-mana pihak. Sebaliknya perlu
saling bekerjasama membantu mengurangkan masalah ini. Samada pihak guru,
pengetua, ibu bapa, staf dan bahagian pentadbir sekolah sahaja.
Masyarakat juga boleh menjadi ’mata dan telinga’ dalam menyelesaikan
masalah ini untuk mewujudkan kehidupan yang aman dan tenteram. Apabila
masalah didiplin dapat dikawal,pembelajaran yang kondusif dapat
diwujudkan. Dari situ akan lahir pelajar-pelajar yang cemerlang akademik
dan peribadi. Mereka inilah yang bakal menerajui mercu kepimpinan
negara. Jelas di sini bahawa isu disiplin ini bukan isu main-main dan
hanya dipandang enteng. Tetapi merupakan satu isu yang perlu diberi
perhatian oleh semua pihak.
Harapan saya, semoga segala usaha ini akan mendapat ganjaran serta keredhaan daripada Allah S.W.T.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan